JaNGaN JEMU MEMUJI DaN MERaNGSaNG
http://saifulislam.com/“Naurah dah makan ke?” saya bertanya.
Beliau hanya tersengih.
Muka saya masam mencuka.
Naurah memuncungkan mulutnya.
“Kenapa Naurah makan? Bukankah hari ini kita berpuasa? Sayang sahaja. Baru pukul 11 pagi!” saya menjelaskan kepadanya tentang apa yang berlaku.
Too hot to handle…. kadang-kadang begitu saya istilahkan anak perempuan kesayangan saya ini. Naurah sangat unik. Hatinya boleh menjadi sekeras batu, boleh juga sedingin salju. Jika saya pulang dari kerja, Naurahlah yang paling mesra menyambut di pintu, menawarkan segelas air dan mencabut stokin serta membuat apa sahaja untuk menggembirakan hati saya.
Tetapi hatinya itu jangan disinggung.
Tersilap menegur, langit cerah menjadi taufan. Amuknya bukan kepalang.
POSITIVE REINFORCEMENT
Mengajar sesuatu kepada Naurah adalah contoh ekstrim tentang keperluan POSITIVE REINFORCEMENT.
Pendekatan ini bukan bermaksud melimpahkan pujian tidak berasas tanpa tujuan kepada anak-anak. Positive reinforcement bermaksud kepekaan ibu bapa atau sesiapa sahaja yang berhubung dengan kanak-kanak, terhadap perbuatan baik yang dilakukan oleh seorang anak, mengiktiraf kebaikan yang dilakukan itu dan memberikan ganjaran. Apa yang diganjarkan itu, sama ada berbentuk pujian, senyuman, anggukan kepala dan sesekali hadiah untuknya, menjadi PERHATIAN yang diberikan oleh di tempat yang betul untuk anak-anak.
Ia membantu anak-anak menetapkan satu tujuan yang positif kepada anak-anak untuk mereka membuat kebaikan.
Ia juga tidak menghantar mesej yang salah kepada anak-anak, bahawa perbuatan baik mereka disepikan, salah laku ditegur malah diherdik. Akhirnya, hanya dengan salah laku, mereka akan mendapat perhatian daripada ibu dan bapa.
Naurah tidak makan saman, tetapi sangat menghargai pujian. Setiap pujian sangat menjadikannya bermotivasi tinggi untuk melakukan sesuatu yang baik. Manakala teguran, amat sulit untuk dihadam.
Perempuan barangkali? Saya hanya mampu tersenyum memikirkannya.
Metod Khalifah mengajar ibu bapa prinsip berlembut tetapi tegas. Gentle but firm!
Bersama Naurah, kami menggunakan sepenuhnya regim ini.
HUKUMAN YANG BERSESUAIAN
“Wah, seronoknya. Ada jelly!” Naurah melonjak gembira melihat agar-agar merah kegemarannya terhidang di meja.
“Sorry, meja ini untuk orang yang berpuasa sahaja. Naurah duduk dulu. Makan selepas kami makan” saya bertegas.
Wajahnya segera berubah. Masam mencuka. Renungan matanya seperti mahu menelan saya. Tetapi saya dan isteri abaikan sahaja. Sudah biasa.
“Seronok betul makan bersama-sama apabila berbuka. Sebab itu kita kena berpuasa. Kalau letih dan tak mampu, beritahulah ibu bapa. Jangan pula pandai-pandai makan sendiri. Terpulang, mahu makan makanan yang sedap-sedap, atau sekadar makan nasi lauk semalam” saya bermonolog sambil menjeling di ekor mata melihat gelagat Naurah yang sudah berbungkus selimut membina ‘comfort zone‘ beliau sendiri.
Keesokan harinya, Naurah enggan bangun sahur.
2 Ramadhan adalah hari beliau melepaskan kemarahan. Semua jadi tidak kena. Naurah enggan berpuasa.
3 Ramadhan pun sama juga.
4 Ramadhan, kemarahannya reda.
Naurah bangun bersahur dengan ceria. Semangkuk cereal menjadi hidangan dengan sedikit nasi yang ditambah.
Sepanjang hari Naurah ceria. Banyak masa dihabiskannya dengan melukis. Saya memantau lukisan Naurah yang kelihatannya semakin lama semakin terpeinci, hingga khemah pun sudah ada pasak dan tali yang lengkap, demikian juga tompok-tompok pada kucing yang bukan satu warna lagi.
“Naurah dahagalah” kata anak dara saya itu.
“Naurah boleh tahan lagi ke?” saya sekadar memeriksa.
Tidak memaksa, namun tidak mahu puasa berlaku tanpa difahami ertinya.
“Naurah boleh tahan lagi” katanya.
“Bagusnya. Kalau penat beritahu Abi, ok!” saya mengingatkan.
Sehingga lewat petang, Naurah masih berpuasa. Abangnya, Saiful Islam sudah tidak tentu arah. Tidak sabar mahu bertolak balik ke kampung. Juga gelisah menahan kelaparan.
BERJAYA
“Allahu Akbar, Allahu Akbar!” azan berkumandang.
“Tahniah Naurah… Tahniah Naurah… Tahniah Naurah!!!” kami semua menjerit.
4 Ramadhan mencatatkan kegembiraan buat kami semua kerana buat pertama kalinya, Naurah berjaya menyempurnakan puasanya dengan baik! Berdozen-dozen ciuman dan pelukan kami berikan sebagai tanda kegembiraan. Tidak dilupakan Strawberry House yang diharap-harapkannya semenjak awal tahun lagi.
Setiap anak itu unik.
Ibu bapalah yang mesti mengesan dan menghargainya.
Subuh ini Naurah ceria bersahur lagi.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment